
''Pemuda UMNO Terengganu mengalu-alukan sebarang perbincangan di antara pucuk pimpinan kedua-dua parti," katanya dalam kenyataan yang dikirimkan melalui khidmat pesanan ringkas di sini hari ini. Menurut Saiful Bahri, sudah sampai masanya pemimpin kedua-dua parti duduk semeja untuk mencipta kestabilan dan kemakmuran negara. Katanya, mereka yang menolak usaha pembentukan kerjasama di antara UMNO-Pas mempunyai agenda politik peribadi yang tersirat dan sempit.
Beliau berkata, tindakan mereka yang menolak usaha itu bertentangan dengan kehendak rakyat yang mahukan kemakmuran negara berkekalan. ''Rakyat juga mempunyai hasrat yang sama untuk melihat perpaduan dan kestabilan politik negara," ujarnya. Menurutnya, pemimpin parti perlu menterjemahkan amanah yang diberikan ke arah kebaikan, bukannya terlalu banyak berpolitik sehingga memberi kesan kepada rakyat dan negara. Ini kerana jelasnya, negara terpaksa berhadapan dengan banyak ancaman dari luar serta musuh Islam yang ingin melihat keruntuhan masyarakat di negara ini. Justeru tegasnya, adalah penting semua pemimpin mengambil pendirian bersama untuk mencipta perpaduan demi kebaikan rakyat dan negara.
Oleh: Utusan Malaysia